The Red Giants

EN
MY
SELANGOR FC
BERITA

SRG.OG Tamatkan Kempen “Dream Again” di MSC 2025: Sebuah Perjalanan Penuh Dengan Kebanggaan, Semangat & Ketabahan

Aug 22, 2025 - FAS

Kuala Lumpur, 19 Ogos 2025

Selangor Red Giants OG Esports (SRG.OG), pasukan kebanggaan Malaysia di pentas esukan antarabangsa, menutup tirai kempen “Dream Again” selaku naib juara Mobile Legends: Bang Bang Mid-Season Cup (MSC) 2025 di Esports World Cup (EWC), Riyadh. Tewas 4–1 kepada Team Liquid PH dalam aksi Grand Final yang sengit, penampilan SRG.OG untuk dua kali berturut-turut di pentas akhir mengukuhkan lagi kedudukan mereka sebagai salah satu pasukan paling konsisten dan berjaya di dunia.

Laluan ke Riyadh diiringi dengan persediaan rapi, dan kekuatan kolektif pasukan. Penyertaan MSC 2025 membawa tanggungjawab untuk mempertahankan kejuaraan di edisi 2024 dengan SRG.OG menanam impian baru dalam misi yang lebih mencabar. Peringkat kumpulan menyaksikan kemampuan mereka diuji, sekaligus memaksa pasukan untuk menyesuaikan strategi dan mempertingkatkan mutu permainan. Di perjalanan fasa kalah mati, SRG.OG mempamerkan mentaliti juara mereka: bangkit lebih kuat, menewaskan seteru serantau, dan menundukkan gergasi antarabangsa. Setiap kemenangan menjadi bukti bahawa pasukan esukan dari Malaysia mempunyai kualiti, disiplin, dan daya tekad untuk berdiri setanding dengan yang terbaik di mata dunia.

Menjelang peringkat kalah mati, kerjasama sepasukan dan persediaan SRG.OG terserlah sepenuhnya. Kemenangan separuh akhir menentang ONIC PH, salah satu pasukan pilihan kejohanan, bukan sekadar sebuah kemenangan; tetapi menjadi bukti bahawa tahap persediaan holistik dan sokongan yang padu daripada setiap anggota pasukan, serta keyakinan tinggi mampu membawa kemenangan kepada pasukan. Kejayaan mara ke Grand Final dua musim berturut-turut membuktikan konsistensi elit SRG.OG serta menetapkan kedudukan mereka dalam kelompok pasukan terbaik dunia.

Tidak dapat dinafikan bahawa perjalanan ini bukanlah sebuah perjalanan yang dilalui oleh mereka sendiri. Ini didorong oleh sokongan padu daripada ekosistem di sekeliling mereka. SRG.OG merakamkan penghargaan tinggi kepada Esports Integrated (ESI) dan Malaysia Esports Accelerator Program (MEAP) atas keyakinan serta sumbangan mereka dalam menjayakan kempen ini. Program MEAP, yang diatur untuk menyediakan latihan dan sokongan hospitaliti untuk pasukan, telah membantu mengoptimumkan prestasi dan kesejahteraan pasukan. Penghargaan mendalam juga ditujukan kepada Selangor FC kerana menyalurkan kepakaran dalam membina budaya juara serta mengiktiraf bahawa esukan memerlukan tahap komitmen dan penjagaan yang sama. Pasukan ini turut menzahirkan penghargaan kepada rakan-rakan penaja yang mempercayai visi dan misi pasukan, yang telah menjadi pemacu penting sepanjang perjalanan ini. Dan yang paling utama, kepada keluarga, komuniti, serta para peminat yang mengangkat semangat Malaysia hingga ke Riyadh. Sorakan, kehadiran, dan tenaga anda telah menjadi sumber kekuatan SRG.OG dalam setiap perlawanan.

Walaupun gelaran juara kekal milik Team Liquid PH, SRG.OG menutup kempen ini dengan penuh kebanggaan. Peluang untuk beraksi menentang pasukan terbaik dunia di pentas final menjadi peringatan bahawa impian pasukan ini masih hidup, masih membara, dan masih akan terus diburu. “Dream Again” bukan sekadar sebuah kempen; ia telah menjadi gambaran sebenar jati diri kami. Satu peringatan  bahawa tanpa mengira keputusan, kami akan terus berusaha, terus berkembang, dan akan terus percaya. Impian ini akan terus menyala lebih terang, saat kami melangkah ke siri seterusnya.

Kepada penaja, rakan kerjasama, keluarga, dan para penyokong, terima kasih kerana sentiasa bersama kami di setiap langkah. Misi ini akan terus bersambung, dan SRG.OG akan bangkit semula.

SRG.OG dengan bangganya disokong oleh CelcomDigi, Gatsby, Indomie, Red Bull,  MoveOn, Tobaki,  Suasana Market Hall, Bulan Bintang, Playaz, High Cultured, Protech, KBS & ESI.

 #SRGOG #MSC2025 #StrengthInUnity #DreamAgain